Nasihat dari Akal buat Hati

Wahai hati,
andai kau inginkan sesuatu,
benarkanlah aku pertimbangkan dulu,
kalau aku tak mampu,
biarlah iman di dada yang membantu.
Kerana wahai hati,
aku ini tak selalu benar,
walau dia senipis kulit bawang,
tapi,
yang mampu menjagamu hanya iman,
menjadi benteng seteguh berlian.

Wahai hati,
Iman yang terisi dibadan mu,
janganlah kau abaikan,
jangan pula kau biarkan dia tidak diberi makan,
kerana tanpa iman,
kau hanyalah sekeping hati,
yang tidak mampu menangkis apa mehnah,
yang datang melanggari.

Wahai hati,
mengapa engkau terus memberi arahan kepada diri,
agar melakukan maksiat,
dan perkara yang dibenci,
sedangkan aku sudah menegahmu supaya jangan lakukan itu dan ini,
apakah kau ingin tubuh dan diri ini dihumban masuk ke dalam api?
 dibakar hangus namun kulit tetap tumbuh kembali,
merasa sakit yang tiada henti,
dipukul dan direjam dengan rantai besi,
diherdik malaikat Malik yang tak kenal seri,
menyuapkan bara api ke mulut sendiri,
meneguk nanah dari tubuh sendiri,
memakan kayu dan pokok yang berduri,
namun lapar dan dahaga tidak juga henti.

Wahai hati,
Tidak kasihankah kau pada tubuh ini,
yang asalnya hina tapi dimuliakan Ilahi,
Sebagai umat yang Rasulullah rindui,
ingin kau lihat sekujur tubuh ini kembali,
menghadap kepadaNya dalam keadaan dimurkai?
sanggupkah engkau melihat diri ini,
berwajah gelap menghadap Ya Khaliq,
tidak kau sayang pada jasad ini?

Wahai hati,
 sabun breeze dan clorox,
serta apa jua jenis bahan pencuci yang kau gunakan,
tak mampu menanggalkan kesan kotoran dosa dan derhaka.
Tapi,
Basuhlah tubuhmu dengan zikir,selawat,dan istighfar.
Suruhlah tubuh ini membaca Al-Quran,
Latihlah tubuh ini menjadi hamba abdi,
Kepada Yang Memiliki segala yang di langit dan di bumi.

Wahai hati,
Aku hanya akal yang bertindak untuk memberi apa yang logik,
Tapi hanya engkau yang mampu mengubah dirimu sendiri,
Aku bertindak sebagai penasihat,
tapi engkaulah sendiri sebagai pemerintah,
yang berupaya menggerakkan,
memaksa tubuh ini,
sujud dan akur,
pada Allah rabbul izzati.
selagi degupanmu belum berhenti.

Comments

Popular Posts